LIVERPOOL – Hasrat Liverpool untuk mengubati kekecewaan tidak dapat mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi saingan musim ini dengan bergelar juara Eropah menemui kegagalan.
Ia selepas Liverpool sekadar seri tanpa jaringan dengan seteru utama dari Sepanyol, Real Madrid pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Anfield awal pagi semalam sekali gus terpaksa akur tersingkir 1-3 secara agregat.
Lebih malang, kegagalan melangkah ke pentas separuh akhir Liga Juara-Juara menyaksikan The Reds bakal menutup kempen musim ini tanpa sebarang trofi buat kali pertama sejak 2018.
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya, barisan pemainnya telah membuktikan mereka mampu memperbaiki kedudukan keenam EPL ketika ini dengan melonjak ke kelompok empat teratas untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Saya sangat yakin kami dapat mengubah situasi sekarang berdasarkan prestasi ditunjukkan ketika menentang Real hari ini (awal pagi semalam). Ia tidak mustahil jika kami terus mempamerkan persembahan hebat seperti ini.
“Sekarang, kami akan fokus kepada aksi EPL dengan mengutip sebanyak mata yang boleh kerana kami mahu bermain di pentas Liga Juara-Juara musim depan. Liverpool perlu sentiasa berada dalam kejohanan ini, katanya.
Liverpool kembali memahat nama sebagai antara pasukan digeruni di Eropah selepas berjaya menjulang gelaran Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia pada 2019 sebelum menjuarai kejuaraan EPL setahun kemudian.
Bagaimanapun, The Reds terpaksa akur gagal mempertahankan kejuaraan EPL apabila ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City selepas sebelum ini tersingkir seawal pusingan keempat Piala Liga England dan Piala FA musim ini. – AGENSI