fbpx

Mengaku tidak salah kurung, cederakan lelaki warga India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu mengurung, menakutkan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India, Selasa lalu.

B. Selvendran, 33, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S. Mageswary.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama rakan yang masih bebas, menggunakan kekerasan memaksa warganegara India, Balamurugan Selvam sehingga menyebabkan mangsa dikurung dalam kediaman di Bandar Bukit Tinggi, Klang tanpa kerelaan mangsa.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Selvendran didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat menakutkan mangsa sama dengan mengatakan akan membunuh lelaki itu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan ketiga tertuduh juga didakwa bersama rakan yang masih bebas, dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan menumbuk pada bahagian badannya yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pukul 2.45 petang pada 13 April lalu.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin manakala tertuduh diwakili peguam Mishant Thiruchelvam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tarikh 17 Mei ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI