MELAKA – Penyanyi, Zamani mengakui masalah tulang belakang melengkung atau skiliosis yang dihidapinya sejak dua tahun lalu semakin serius.
Pelantun lagu Gerimis Mengundang itu berkata, perubahan fizikalnya yang bongkok semakin ketara dan tidak dapat disembunyikan lagi, namun setakat ini masih mampu membuat persembahan tanpa sebarang masalah.
“Para peminat perasan mengenai perubahan fizikal saya (bongkok), memang ketara. Saya tidak boleh sorok lagi.
“Namun, selagi tidak mengganggu kerja, saya akan menyanyi dan membuat persembahan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas majlis promosi Program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan bersama Zamani dan The Siblings Band di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar, Zamani Ibrahim, 50, itu memberitahu, dia sedang mendapatkan rawatan tradisional sebagai ikhtiar bagi mengubati penyakit tersebut.
“Saya juga mendapatkan rawatan pakar kerana bimbang masalah tulang belakang ini menjadi semakin teruk sehingga mengganggu kerja.
“Setakat ini, Alhamdulillah. (Cuma) saya tidak boleh terlalu aktif di atas pentas,” katanya yang sebelum ini menghentikan seketika rawatan kiropraktik kerana masalah kewangan.
Zamani terbuka berkongsi keadaan kesihatannya supaya peminat tidak risau atau tertanya-tanya mengenai perubahan ketara fizikalnya.
Penyanyi itu turut mengharapkan peminat-peminatnya supaya mendoakan kesihatannya agar semakin baik.
Dalam perkembangan lain, Zamani berkata, dia bersama-sama Slam merancang untuk mengadakan konsert sempena 25 tahun kumpulan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada tahun ini.
Untuk persembahan bersama The Siblings pada majlis 1 Mei ini, Zamani dijangka menyampaikan sebanyak 12 lagu hitsnya.
Tiket untuk persembahan tersebut mula dijual kelmarin pada harga RM250 seorang, manakala jualan meja antara RM3,000 hingga RM5,000. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 012-611 8595 atau layari laman sesawang www.lacrista.com.my.