SEBUT perkataan rasuah, pasti ramai yang terbayangkan duit. Kerana duit manusia jadi alpa.
Macam-macam benda boleh dilakukan sekiranya ada wang. Budak kecil pun tahu mengenai wang walaupun tidak tahu nilainya.
Selain duit, ada juga yang menawarkan kad kredit, kenderaan, rumah, percutian serta baucar kepada pihak-pihak tertentu bagi melicinkan operasi kerja kotor mereka.
Mengikut laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bulan lalu, seramai 171 individu telah diberkas pihak berkuasa itu di seluruh negara dengan majoritinya adalah penjawat awam.
Jumlah itu meningkat mendadak berbanding tangkapan pada Januari dan Februari lepas iaitu masing-masing sebanyak 42 dan 109 tangkapan.
Kartel tender projek kerajaan dan rasuah bagi melindungi pemandu-pemandu lori melakukan kesalahan jalan raya melibatkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan turut menyumbang kepada kenaikan angka tangkapan pada Mac lalu.
Seorang pegawai SPRM memaklumkan, lima tahun pertama dalam perkhidmatan dan lima tahun terakhir merupakan fasa ujian terutama dalam kalangan penjawat awam.
Apa tidaknya, lima tahun pertama bekerja terlalu banyak yang mahu dikejar. Hendak beli kenderaan, rumah, mendirikan rumah tangga, membayar pinjaman pendidikan yang mana semua itu memerlukan wang.
Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, ramai yang suka tayang kehidupan masing-masing di media sosial. Dalam fasa lima tahun itu mereka yang tidak kuat iman akan terjerumus dalam rasuah.
Tetapi apa yang menyedihkan, mereka yang makan suap ini diberkas semasa menghampiri usia bersara.
Golongan ini pula mengambil jalan singkat terlibat rasuah kerana ‘terdesak’ berikutan perkhidmatan yang hanya tinggal beberapa tahun lagi, namun masih banyak yang perlu dilangsaikan.
Dalam menghampiri usia emas sepatutnya peluang itu digunakan dengan berkhidmat sebaik mungkin sebelum berehat panjang, namun sebaliknya apabila masa dihabiskan untuk naik turun mahkamah bagi menghadiri perbicaraan.
Kalau tidak bernasib baik, wang pencen pun melayang. Lebih teruk lagi ditinggalkan keluarga tersayang. Hendak menyesal pun tiada gunanya.
Jadi sempena bulan Ramadan yang mulia ini, bertaubatlah sebelum terlambat dan segera tinggalkan kerja kotor anda.
Beringatlah, ada yang sedang memerhati gerak-geri anda. Lambat laun perbuatan yang dilaknat Allah itu akan terbongkar dan dapat ditangkap juga.
Seperti kata peribahasa, pelanduk mungkin melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk.
Selamat berpuasa.