Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tetap waspada dengan aksi Harimau Selatan apabila turun bertemu Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Mora berkata, walaupun prestasi skuad Tok Gajah pada tahun ini agak merudum apabila hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lapan perlawanan, ia bukan ukuran untuk JDT memastikan tiga mata sudah berada dalam genggaman mereka.
Katanya, analisa yang dibuat pasukannya tidak seperti apa yang terjadi di atas padang apabila pasukan lawan beraksi di luar kebiasaan setiap kali menentang anak-anak buahnya.
“Tidak kisahlah pasukan lawan bergelut di kelompok bawah liga, prestasi terumbang ambing atau gagal mencatatkan kemenangan dalam dua hingga tiga perlawanan.
“Semua ini akan berubah apabila mereka bertemu JDT. Mereka akan menjadi pasukan yang berbeza, bermain penuh semangat dan bekerja keras ketika menentang kami.
“Jadi, walau apa pun yang menimpa pasukan Sri Pahang ketika ini, saya jamin perlawanan kali ini akan menjadi satu pertemuan yang sengit.
“Kami hormati mereka sebagai pasukan dan kami akan melakukan sebaik mungkin di atas padang esok dalam usaha membawa pulang tiga mata,” katanya mengulas perlawanan menentang skuad bimbingan Dollah Salleh malam ini.
Mengulas lanjut, Mora memberi bayangan bahawa ayam tambatan mereka, Safawi Rasid hampir pasti dapat diturunkan bagi menambah bisa di bahagian jentera serangan Harimau Selatan.
Katanya, dia yang sudah menjalani latihan bersama skuad utama dilihat berada di tahap terbaik dan bersedia merampas posisinya semula daripada Arif Aiman Hanapi sepanjang ketiadaannya.
Mengenai keadaan Matthew Davies pula, Mora memberitahu, pemain bek kanan itu masih dibelenggu kecederaan hamstring dan memerlukan sedikit masa untuk membuat kemunculan semula.
Jelasnya, S. Kunanlan telah melakukan tugas dengan baik ketika mengisi kekosongan Davies dalam beberapa perlawanan sebelum ini.