fbpx

Ibu tunggal rugi RM223,010 diperdaya sindiket Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Hanya kerana mahu mengejar cinta yang tidak pasti, seorang ibu tunggal mengalami kerugian sebanyak RM223,010 selepas diperdaya lelaki yang mengaku dirinya sebagai Datuk yang menetap di Amerika Syarikat (AS).

Dalam tempoh lima bulan perkenalan, wanita yang juga merupakan penjawat awam itu sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji milik dirinya dan anak-anak termasuk membuat pinjaman bank untuk memberikan wang kepada lelaki itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, berdasarkan keterangan mangsa, wanita berusia 44 tahun itu mengenali suspek yang menetap di AS melalui Facebook sebelum berhubung melalui WhatApps.

Katanya, lelaki itu mengatakan bahawa dia sedang dalam proses untuk pulang bekerja di Malaysia dan mendakwa kad kredit miliknya mengalami masalah sebelum meminta wang dari mangsa.

“Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lelaki itu menghubungi mangsa sebelum meminta wang sebanyak RM1,700 untuk membayar kompaun akibat tidak memakai pelitup muka dan perbelanjaan dirinya.

“Selepas daripada kejadian itu, mangsa berasa curiga dengan suspek meskipun sudah melakukan 59 kali transaksi pemindahan wang kepada 10 akaun bank milik individu berbeza sejak Januari hingga 9 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Bersahur Bersama Barisan Hadapan di sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Menurut Shafien, selain mengeluarkan simpanan Tabung Haji, wanita itu turut menjual barang kemas, kereta yang dihadiahkan oleh bekas suami, meminjam wang daripada bapa dan abangnya untuk diberikan kepada suspek.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa sanggup memberikan wang kepada suspek yang berjanji untuk berkahwin dengannya apabila tiba di negara ini.

“Menyedari bahawa dirinya sudah tertipu, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang semalam.

“Polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI