fbpx

‘Biar hilang rumah pusaka, janji ibu selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurisah (kerusi roda) bersama anaknya, Wan Siti Faisma dan menantu, Sulaiman melihat rumah pusaka mereka yang terbakar kelmarin.

ALOR GAJAH – “Walaupun kini kami tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur dapat selamatkan emak, Allah nak uji kami hilang harta benda pada bulan Ramadan ni, yang penting emak ada,” kata Wan Siti Faisma Basir, 43.

Dia berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas kediaman pusaka milik ibunya, Nurisah Tahir, 79, hangus sepenuh­nya dalam kejadian kebakaran di Kampung Durian Daun di sini, awal pagi semalam.

Ujarnya, dia dan suami, Sulaiman Kaus, 42, serta tiga anak­nya masing-masing berusia 3, 4 dan 5 tahun turut mendiami rumah tersebut bagi menjaga Nurisah yang menghidap ken­cing manis, penyakit jantung dan darah tinggi.

“Ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi tadi (semalam), kami sekeluarga sedang tidur dan tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat dari arah serambi rumah dan terus bangun untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya nampak api dah marak di bahagian hadapan serambi. Suami cuba untuk padamkan menggunakan air paip, namun tidak berhasil dan kami terus papah emak dan bawa anak-anak keluar untuk selamatkan diri,” katanya.

Ujarnya, selepas menyelamatkan ahli keluarga, suaminya patah balik masuk ke dalam rumah terbabit untuk cuba menyelamatkan beberapa dokumen penting tetapi api terlalu marak menyebabkan tangan kanannya turut melecur.

Sementara itu, Nurisah yang menggunakan kerusi roda memberitahu, rumah tersebut merupakan peninggalan ibunya dan dibina semula secara berperingkat oleh arwah suaminya.

“Mak cik sedih sebab rumah ini rumah pusaka, arwah suami mak cik yang ubah suai rumah ini secara berperingkat.

“Hebat ujian Allah berikan kepada keluarga kami, tahun 2019 anak bongsu mak cik telah me­ninggal, tahun lepas anak sulung pula. Tahun ini, satu-satunya rumah pusaka yang mak cik ada hangus terbakar,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI