MENUJU detik 130 hari menjelang Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meletakkan 100 peratus keyakinan kepada atlet para negara untuk melakukan kejutan pada temasya sukan terbesar dunia yang membuka tirai 24 Ogos hingga 5 September 2021.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya yakin barisan atlet para negara berupaya untuk mengatasi rekod tiga pingat emas yang berjaya diraih kontinjen negara ketika edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Ketika ini, seramai 10 atlet para dari acara renang, memanah, olahraga, badminton, boccia dan tiga slot sukan berbasikal berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Lebih mengujakan, jumlah atlet para yang akan layak ke Sukan Paralimpik mungkin meningkat apabila seramai 14 atlet masih menjalani proses kelayakan sehingga Jun depan.
“Apa yang saya boleh katakan mungkin ada kejutan dalam Sukan Paralimpik dengan harapan memperoleh lebih daripada tiga pingat emas yang kita peroleh sebelum ini di Rio.
“Mungkin ramai yang teruja dengan atlet para negara dan kita akan berusaha memastikan atlet terbaik negara berada pada tahap terbaik sebelum mereka berlepas ke Tokyo,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Untuk rekod, tiga pingat emas negara pada temasya Sukan Paralimpik 2016 di Brazil berjaya disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (acara 100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman yang dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2020 mengakui atlet para negara bakal menerima tajaan sepenuhnya daripada Datuk Bandar Miyoshi.
“Atlet para negara akan menerima tajaan sepenuhnya untuk berada 10 hari lebih awal di Jepun sebelum tarikh dijadual memasuki perkampungan sukan. Ini adalah berita baik buat mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana,” tambahnya.