fbpx

Shopee unjur sambutan promosi memberangsangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROMOSI ShopeePay yang telah memberi peluang kepada remaja untuk menuntut e-dompet RM150 dan bakal mendapat pelbagai ganjaran.

PETALING JAYA – Platform e-dagang, Shopee telah merekodkan pertumbuhan jualan yang memberangsangkan semasa kempen jualan digit berganda berbanding hari-hari biasa.

Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata, justeru itu, pihaknya akan memperkenalkan Pesta Jualan Raya 5.5 sempena kempen Raya Bersama Shopee dan ia dijangka mengikut trend peningkatan pesanan kempen-kempen sebelum ini.

Menurut beliau, misalnya kempen 4.4 Hari Jualan Mega dan Midnight Mega Sale yang dianjurkan dari pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi telah menunjukkan peningkatan pesanan di seluruh rantau ini sebanyak enam kali ganda berbanding hari-hari biasa.

Katanya, tingkah laku pengguna di Malaysia dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dilihat semakin yakin dengan produk yang ditawarkan e-dagang terutamanya ketika penularan Co­vid-19.

“Pengguna dilihat memanfaatkan platform itu sepenuh­nya untuk membeli barangan keperluan asas, perkakasan rumah termasuk peralatan elek­tronik seperti komputer riba dan peranti pintar untuk memenuhi keperluan bekerja atau belajar dari rumah.

“Trend ini sangat baharu dan meningkat berbanding tempoh tiga bulan pertama pada tahun lalu.

“Pelanggan juga percaya bekalan mencukupi walaupun dalam fasa sekatan pergerakan dan orang ramai dilihat cen­derung untuk tidak melakukan pembelian panik secara besar-besaran berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Raya Bersama Shopee secara online di sini semalam.

Berdasarkan prestasi jualan Tahun Baharu Cina 2.2 yang lalu, Shopee turut mencatat lima kali lebih banyak jualan makanan ringan seperti biskut, coklat, buah-buahan kering, kacang dan keropok berjumlah setengah juta unit dibeli dari kedai seperti Agrobazar berbanding waktu PKP fasa pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata, musim pandemik menyaksikan peningkatan syarikat industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kira-kira 80,000 syarikat PKS berdaftar telah membuka kedai online di Shopee hasil kolaborasi bersama kerajaan persekutuan dan negeri seperti Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS Penjana dan Selangor E-Bazar Raya.

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, pihaknya telah membangunkan ciri baharu pada dompet mudah alih ShopeePay dikenali sebagai Deal Near Me untuk menghubungkan pengguna dengan peniaga luar talian.

Beliau berkata, idea untuk menarik lebih ramai peniaga untuk menerima e-dompet, ShopeePay masih berada pada peringkat awal, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk turut melibatkan peniaga mikro bagi menyertai ekosistem dalam talian ke luar talian pada masa depan.

Ciri dalam talian kepada luar talian berasaskan lokasi itu dapat membantu pengguna mengetahui tawaran baucar ShopeePay oleh peniaga berhampiran termasuk kafe, restoran dan perkhidmatan.

“Mungkin pada masa akan datang kita boleh membawa masuk peniaga yang mengusahakan jenis perniagaan mikro di bazar Ramadan, pusat-pusat penjaja, warung dan tidak ketinggalan penjual burger,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI