KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu ditahan kerana didapati terlibat dengan kegiatan perjudian secara online menerusi dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Jalan Talalla Kampung Atap di sini lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan menerusi serbuan Ops Dadu oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan maklumat serta risikan yang dilakukan.
“Serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam dan pasukan serbuan telah menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 27 tahun selain merampas sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima set komputer, 23 keping kad sim dan wang tunai berjumlah RM4,666.
“Pihak polis seterusnya menyerbu sebuah lagi unit kediaman di kondominum sama kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan menahan tujuh individu terdiri daripada empat lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki China, wanita tempatan dan wanita warga Vietnam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zainal, tangkapan dalam serbuan kedua itu berusia 20 hingga 26 tahun dan pasukan serbuan turut merampas 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat set komputer dan wang tunai berjumlah RM950.
“Tahanan reman ke atas dua tangkapan pertama dibenarkan selama dua hari sehingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan
“Tujuh individu yang ditahan dalam serbuan kedua pula direman tiga hari sehingga 17 April ini bagi sisatan di bawah Seksyen Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tegas beliau.
Difahamkan, kesemua individu yang ditahan merupakan daripada sindiket perjudian yang sama namun menjalankan operasi di dua unit kediaman berbeza di kondominium berkenaan.
Tambah Mohamad Zainal, Polis Dang Wangi memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti judi online di kawasan sekitar Daerah Dang Wangi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. -K! ONLINE