KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses untuk mendapatkan notis merah bagi memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, permohonan itu dijangka dapat diperoleh petang ini bagi membolehkan pihak polis membuat permohonan secara rasmi kepada Interpol.
Menurutnya, sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM sudah memohon dua notis, iaitu biru dan merah.
“Notis biru berfungsi untuk mengesan lokasi di mana suspek berada manakala notis merah pula membolehkan kita membuat permohonan kepada Interpol bagi memberkas suspek.
“Petang ini, kita akan dapatkan waran baru dari Mahkamah Petaling Jaya untuk kita buat permohonan notis merah,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau bersama polis Kontinjen Johor hadir memberikan sumbangan derma kepada anak anggota polis, Nur Aafiyah Mikayla Mohd Asnadi, 2, yang menghidap kanser retina di Wad Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, pihaknya percaya suspek yang berusia 33 tahun itu masih berada di negara ini. – K! ONLINE