PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan tentang penamatan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Sarawak dan satu di Sabah bermula hari ini dan esok.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang ditamatkan PKPD di Sarawak adalah di Kampung Baji, Sarikei; Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah; Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching dan Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan.
“PKPD yang ditamatkan di Sabah pula adalah di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah.
“Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat penurunan kes di kelima-lima lokaliti tersebut dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah dirawat selain kontak rapat juga telah diasingkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kelima-lima lokaliti tersebut.
“PKPD di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching dan PKPD di Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan, Sarawak sebelum ini dijadualkan tamat pada 17 April ini namun kerajaan telah bersetuju untuk menamatkannya hari ini.
“PKPD di Kampung Baji, Sarikei; Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak dan PKPD di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah pula akan ditamatkan mengikut jadual asal iaitu pada 16 April (esok),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan tentang pelanjutan PKPD di dua kawasan iaitu di Daerah Tawau, Sabah dan Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.
“Sebelum ini, PKPD di dua kawasan tersebut dijadualkan akan ditamatkan esok namun KKM melaporkan terdapat banyak kes baharu dikesan di Daerah Tawau dan masih berlaku penularan jangkitan serta jangkaan pertambahan kes positif di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.
“Susulan itu, kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan PKPD di dua kawasan itu bermula 17 April sehingga 30 April depan,” jelas beliau.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan akan turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Sandakan, Sabah dan PKPD di Sekolah Menengah Ugama (SMU)(Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat,
Kelantan serta di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching, Sarawak.
“KKM mengesahkan sebanyak 78 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di daerah Sandakan dan susulan itu kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di daerah Sandakan, Sabah berkuat kuasa 17 April sehingga 30 April 2021.
“KKM juga mengesahkan penularan telah berlaku dalam kalangan penghuni sekolah agama Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung dan juga di dalam kalangan pelatih serta penghuni Pulapol jadi kerajaan membuat keputusan untuk menguatkuasakan PKPD di dua lokasi tersebut bermula dari 16 April hingga 29 April 2021,” ujarnya. – K! ONLINE