fbpx

Penyamun daging sejuk beku tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Sekumpulan penyamun daging sejuk beku dari Johor yang menyasarkan mangsa di sekitar kawasan utara tumpas selepas ditahan polis berdekatan sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Senai, Johor semalam.

Empat suspek berusia di antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan di tempat letak kenderaan kira-kira pukul 2.40 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, tangkapan suspek dibuat selepas pihaknya menerima laporan kejadian pecah masuk sebuah kedai daging sejuk beku di Taman Inderawasih, Perai di sini awal bulan ini.

“Hasil siasatan ke atas suspek mendapati mereka mengaku melakukan kegiatan itu dan menjual daging berkenaan yang bernilai RM35,000 kepada seorang lelaki.

“Mereka juga dipercayai melakukan kegiatan sama di sebuah premis daging sejuk beku di Sungai Kob, Kulim, Kedah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Shafee, suspek yang bergerak dari Johor itu menyasarkan kawasan utara bagi melakukan kegiatan berkenaan kerana sudah kerap ditangkap di kawasan selatan.

“Suspek utama berusia 32 tahun mengaku mengupah tiga rakannya yang tidak bekerja melakukan kegiatan itu dengan menawarkan gaji di antara RM5,000 hingga RM8,000.

“Untuk melakukan kegiatan tersebut, suspek membuat carian kedai sejuk beku di laman sosial Facebook dan Google,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas sebuah lori bersama alat pemotong besi, troli serta 395 kotak daging kerbau dan kambing sejuk beku bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI