fbpx

Peniaga tabah rezeki bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Pengumuman kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ibarat ‘sinar baharu’ buat semua peniaga.

Biarpun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP), namun ia diterima dengan lapang dada.

Pastinya yang penting mereka dapat mencari rezeki pada bulan mulia ini setelah tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Pada tahun lalu, penutupan bazar Ramadan menyebabkan aktiviti jualan dalam talian makin rancak.

Setiap hari meriah jualan kuih-muih, lauk-pauk dan biskut raya di WhatsApp mahupun Telegram dari pagi sehingga lewat malam.

Apa yang pasti, kemeriahan bazar Ramadan dengan pelbagai juadah dapat dirasai pada tahun ini.

Bagaimanapun, situasi ini tidak dapat dirasai kira-kira dua juta penduduk Kelantan apabila kerajaan negeri membatalkan semua aktiviti bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Pembatalan dua hari sebelum umat Islam berpuasa itu menyebabkan ribuan peniaga kecil bazar Ramadan di 11 jajahan di negeri itu ‘melopong’.

Modal yang dilaburkan bukan sedikit, belum pun sempat menjual barang dagangan sudah tanggung kerugian.

Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan pandemik Covid-19 yang tinggi iaitu mencecah angka 1.12, melebihi peringkat nasional 1.06.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, 22 peratus kes di Kelantan tiada ‘epid link’ iaitu kes yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

Keadaan itu menunjukkan Covid-19 sudah berada dalam komuniti dan ruang untuk berjangkit terlalu tinggi. Besarnya dugaan peniaga-peniaga di Kelantan.

Kegusaran ini ada asasnya, dalam kemeriahan membeli juadah kadangkala kita juga terlupa SOP.

Bagi yang beringat, baguslah. Namun silap langkah, kebenaran boleh ditarik balik.

Dugaan yang diterima peniaga di beberapa bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang juga menghibakan pada hari pertama berniaga.

Barang jualan dan khemah rosak yang menyebabkan ada antaranya tidak dapat berniaga selama beberapa hari selain menanggung kerugian ribuan ringgit akibat ribut dan hujan lebat.

Video tular memaparkan sebahagian peniaga memegang khemah bagi mengelakkan diterbangkan ribut dan mengutip makanan yang telah rosak mengundang sebak di hati netizen.

Rata-rata menitipkan kata-kata semangat semoga rezeki lebih murah selepas ini.

Betapa besar pun dugaan, peniaga dan orang ramai perlu mematuhi SOP agar tiada kluster bazar Ramadan pula selepas ini.

Selamat berpuasa buat semua pembaca Kosmo!. Jika kamu terus mengeluh atas apa yang tidak kamu miliki, kamu tidak akan pernah merasa cukup dalam hidup ini. Jadi, belajarlah bersyukur.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI