KLANG – Semua penganjur bazar Ramadan perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan seluruh negeri ini atau berdepan tindakan penutupan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ini bagi memastikan tidak wujudnya kluster baharu susulan ingkar mematuhi SOP tersebut.
“Saya telah arahkan agar semua Ketua Polis Daerah dan petugas-petugas di bawah untuk mengambil tindakan tegas mulai sekarang kepada semua individu yang melanggar SOP.
“Penganjur juga bertanggungjawab dan selia bazar Ramadan dengan SOP atau akan dicadangkan penutupan bazar itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kawalan sekatan jalan raya (SJR) akan diperketatkan terutama pada hujung minggu yang mempunyai pergerakan yang lebih berbanding hari biasa.
Arjuandi menegaskan, sebahagian daripada kompaun dikeluarkan sebelum ini juga adalah berkaitan kesalahan merentas negeri.
“Pihak Bukit Aman juga telah memberi arahan untuk kita membuat penelitian yang lebih kepada semua permohonan rentas negeri dan hanya memberi kepada perkara-perkara berkaitan pekerjaan, pendidikan dan hal-hal kecemasan,” jelasnya. -K!ONLINE