PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino menolak tanggapan pasukannya adalah pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini selepas menyingkirkan Bayern Munich.
PSG mara ke pentas separuh akhir meskipun seri 3-3 secara agregat kerana memiliki kelebihan gol di tempat lawan apabila menang 3-2 pada perlawanan pertama minggu lalu.
Juara Liga Perancis itu bagaimanapun tewas 0-1 pada aksi timbal balik suku akhir yang berlangsung di Parc des Princes awal pagi semalam menerusi jaringan tunggal daripada penyerang Bayern, Eric Maxim Choupo-Moting.
“Saya tidak fikir kami adalah pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga Juara-Juara musim ini walaupun kami sudah tewaskan Bayern selaku juara bertahan.
“Kami sepatutnya menang kedua-dua perlawanan kerana bermain lebih baik berbanding Bayern. Masih ada pasukan lain dan lebih hebat seperti Chelsea yang turut layak ke separuh akhir,” kata Pochettino.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu menegaskan, skuad kendaliannya tidak kisah bertemu dengan mana-mana pasukan kerana sasarannya adalah mara ke pentas final.
Ini adalah peluang terbaik buat PSG untuk menjuarai gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab itu selepas tewas kepada Bayern pada aksi final edisi musim lalu. – AGENSI