MENGAGUMKAN! Penyanyi Rose daripada kumpulan Blackpink melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Guinness World Records sebanyak dua kali.
Perkara berkenaan diumumkan Guinness World Records pada 9 April lalu dengan memberitahu bahawa video muzik lagu solo perdana penyanyi itu, On The Ground mencatat rekod sebagai lagu artis K-pop paling banyak ditonton dalam masa 24 jam menerusi YouTube.
Video muzik tersebut mencatat jumlah tontonan sebanyak 41.6 juta kali dalam masa 24 jam selepas dimuat naik, sekali gus memadam rekod terdahulu yang dipegang penyanyi Psy selama lapan tahun untuk lagunya Gentleman.
Selain itu, Rose juga memegang rekod sebagai artis solo dan berkumpulan pertama yang pernah menduduki tangga nombor satu dalam carta muzik dunia, Billboard.
Bersama dengan lagu Lovesick Girls nyanyian Rose dan Blackpink yang menduduki tempat nombor satu pada Oktober tahun lalu menjadikannya sebagai penyanyi yang memiliki dua buah lagu di tangga teratas dalam Billboard.
“Ini menjadi permulaan awal kepada lebih banyak kejayaan pecah rekod untuk karier Rose,” ujar wakil Guinness World Records.
Setakat ini, Blackpink memiliki 27 video muzik lagu dalam YouTube dengan setiap satunya mencatat ratusan juta tontonan. Malah, mereka juga mempunyai lebih 60 juta pelanggan dalam platform berkenaan di belakang penyanyi Justin Bieber.