PETALING JAYA – Usahawan kosmetik sensasi yang masih hilang jejak, Nur Sajat terus memuat naik kenyataan kontroversi menerusi Instagramnya.
Terbaharu, Nur Sajat atau nama lengkapnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, menyifatkan kebanyakan manusia bersifat munafik.
“Biarlah tiada agama daripada ada agama, rasa diri itu bagus dari tak pernah buat dosa. Kebanyakannya ramai munafik. Manusia bertopengkan syaitan,” tulisnya melalui InstaStory.
Tulis Sajat juga, orang cerdik agama yang membuatkan dirinya menjauhi dari agama Islam.
“Orang agama yang minta sangat aku jauh dari agama Islam. Lagi aku pertahankan, lagi mereka buli aku. Orang-orang acah alim, semua sibuk maki, hina, herdik dan beri sindirian yang menghina.
“Aku dengan cara aku dan aku tak percaya mana-mana dah. Bagi aku semua itu karut,” ujarnya.
Untuk rekod, sudah Sajat sebulan diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sehingga kini, usahawan itu masih belum berjaya dijejaki sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lalu. Pihak polis memaklumkan kemungkinan Sajat berada di luar negara. – K! ONLINE