fbpx

Kemalangan tiga kenderaan kerana kereta lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga kenderaan terlibat kemalangan di Kilometer 3.0, BORR di Butterworth malam tadi.

SEBERANG PERAI – Tindakan pemandu sebuah kereta memandu secara melawan arus mengundang padah apabila menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam di Butterworth di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu membabitkan kereta jenis Honda City dan Toyota Corolla Altis serta motosikal jenis Benelli Leoncino.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda City dipandu lelaki berusia 43 tahun secara bersendirian melawan arus.

“Ia menyebabkan kereta itu bergesel dengan motosikal dinaiki pasangan berusia 24 dan 28 tahun, namun penunggang dan pembonceng tidak jatuh serta tidak cedera.

“Kereta itu kemudiannya bertembung pula dengan Toyota Corolla Altis dinaiki tiga sekeluarga yang berada di laluan yang betul,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian memandangkan pemandu yang melawan arus tersebut belum sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

“Pemandu Toyota Corolla Altis berusia 35 tahun serta penumpang iaitu isterinya berusia 31 tahun dan anak perempuan berusia tiga tahun yang cedera turut menerima rawatan.

“Polis sedang melakukan siasatan lanjut termasuklah mengesan saksi dan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya.

Beliau berkata, mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 018-2881 424 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI