fbpx

KBS arahkan SIC tangguh sementara kejohanan drag

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJUR acara MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 dikenakan kompaun RM20,000 selepas para peserta dikesan melanggar SOP di venue SIC, Sepang minggu lalu.

Oleh SUBKHI SUDARJI

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) diarahkan menangguhkan sebarang kejohanan drag buat sementara waktu sehingga pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan penilaian semula dan penambahbaikan ke atas protokol pengurusan venue di SIC.

KBS dalam satu kenyataan semalam memberitahu, keputusan itu susulan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, wakil MUSC Motorsports dan pihak Motorsports Association of Malaysia (MAM) pada 9 April lalu.

“Pihak MUSC Motorsports juga tidak dibenarkan menganjurkan sebarang kejohanan drag di SIC dan mana-mana litar buat sementara sehingga diberi kebenaran oleh KBS dan pihak berwajib,” katanya kenyataan itu semalam.

KBS menambah, lain-lain aktiviti sukan permotoran yang akan dilaksanakan di SIC adalah dibenarkan tertakluk kepada kebenaran KBS dan pihak berwajib serta pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

Katanya, KBS memandang serius berhubung insiden pelanggaran SOP Sukan dan Rekreasi yang ditetapkan memandangkan pihak kementerian sedang mempergiatkan usaha untuk menghidupkan semula industri sukan yang terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.

“KBS berharap agar semua penggiat dan peminat sukan dapat memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab masing -masing dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan,” tegasnya.

Sabtu lalu, Kosmo! Online melaporkan MUSC Drag Racing dikenakan kompaun RM20,000 selepas dikesan melanggar SOP semasa penganjuran MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021.

Penganjuran tersebut merupakan aktiviti pertama yang dibenarkan dengan kehadiran 2,000 penonton ke Sepang, namun penganjur dilihat gagal mematuhi SOP dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI