PETALING JAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan sebanyak 20 guni mengandungi sisa buangan klinikal dilonggokkan di hadapan sebuah premis di Taman Seri Melati, Selayang Selasa lalu.
Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sisa buangan klinikal tersebut dipercayai diperolehi dari sebuah pusat hemodialisis di Taiping, Perak.
“Seorang lelaki telah ditahan dan mengaku bertanggungjawab. Arahan telah dikeluarkan untuk melupuskan sisa buangan klinikal itu di lokasi dilesenkan oleh JAS.
“Kertas siasatan akan dibuka di bawah Seskyen 34 (B) Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, sumber JAS memaklumkan, premis itu disyaki dijadikan sebagai lokasi transit simpanan sisa buangan klinikal sebelum mahu dilupuskan.
Menurut sumber, sisa klinikal seperti picagari, jarum suntikan dan bekas plastik drip itu berisiko menyebarkan penyakit kerana tidak diuruskan secara betul.
“Lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki operator haram ditahan di premis berkenaan pada hari yang sama,” katanya. – K! ONLINE