fbpx

Harimau Malaya divaksin Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL (tengah) bergambar bersama Chef De Mission (CDM) Malaysia ke Olimpik, Datuk Lee CHong Wei (kiri) dan CDM Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin pada majlis pelancaran Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 di MSN, Kuala Lumpur semalam. – FARIZ RUSADIO

SKUAD Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila seramai 78 pemain, pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan menerima suntikan vaksin ­Covid-19 pada Isnin depan di Putrajaya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya tidak dapat memberikan jaminan mengenai suntikan vaksin buat skuad kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi kelayakan Pia­la Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mei depan.

Bagaimanapun, beliau me­ng­akui hasil rundingan berterusan, pihaknya berjaya memastikan Harimau Malaya akan menerima suntikan Covid-19 di Putrajaya bermula 19 April ini.

“Seperti mana saya maklumkan semalam (kelmarin), skuad bola sepak negara tiada jaminan untuk menerima vaksin.

“Hari ini (semalam) Alhamdulilah berkat daripada usaha yang berterusan, kita dimaklumkan bahawa sejumlah 78 orang pemain, jurulatih dan pegawai termasuk Presiden FAM akan menerima suntikan vaksin.

“Mereka akan divaksinkan pada tarikh lebih awal iaitu pada 19 April (Isnin) di Dewan Seri Seroja, Presint 15, Putrajaya.

“Ini bermakna semua individu terlibat akan selesai menerima dos kedua sebelum berangkat ke Dubai nanti,” katanya pada majlis pelancaran Detik 100 hari ke Tokyo 2020 di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan me­nerima suntikan dos kedua tiga minggu atau 21 hari selepas suntikan pertama dilakukan iaitu pada 10 Mei.

Skuad Harimau Malaya akan menyertai kem latihan pusat pada 16 Mei ini sebelum berlepas ke Bahrain tiga hari kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI