fbpx

Godzilla, Kong berentap, pihak mana yang menang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTARUNGAN dua makhluk ‘titan’ yang paling menggerunkan di dunia, Godzilla dan Kong merupakan pengalaman paling dahsyat yang tidak harus dilepaskan oleh peminat.

BEBERAPA hari sebelum tibanya Ramadan, penulis berpeluang menghabiskan sedikit masa berkunjung ke pawagam untuk menyaksikan kehebatan filem yang diperkatakan ramai, Godzilla vs. Kong.

Secara peribadi, karya berkenaan mengekalkan dua perkara yang tidak banyak berubah daripada sekuel terdahulu, Godzilla: King of the Monsters (2019).

Bezanya, naskhah sentuhan sutradara Adam Wingard kali ini menyengat dalam aspek sama iaitu kesan visual dan skor muzik.

Dua aspek tersebut boleh disifatkan berada dalam kelas A dan langsung tidak mengecewakan. Menggabungkan dua makhluk ‘titan’ paling berpengaruh dalam sebuah cerita iaitu Godzilla dan Kong, itu satu cabaran yang menggerunkan.

Plot, perkembangan karakter

Seperti prekuelnya, naskhah kali ini masih dihimpit permasalahan sama iaitu kekemasan plot dan perkembangan karakter (terutama karakter manusia).

Menyentuh tentang kekemasan plot, disebabkan filem kali ini berkisar tentang Godzilla dan Kong, sebenarnya, terlalu banyak perkara yang ingin disumbat, sekali gus menyebabkan ada beberapa bahagian yang longlai.

PEMINAT Kong pastinya mencari satu kelainan dalam edisi kali ini. Mampukah Kong sekali lagi mencairkan hati manusia dengan sifat halusnya di sebalik kegasarannya, semuanya terjawab dalam Godzilla vs. Kong.

Mungkin kerana keletihan atau juga ruang kosong, penulis sebenarnya terlelap sebelum bermula adegan pertarungan pertama dua titan tersebut iaitu ketika Kong mahu berpindah ke ‘habitat’ baharunya.

Namun, babak aksi yang dihidangkan selepas itu terus menderaskan adrenalin penulis untuk terus mengunci perhatian.

Perkembangan karakter dalam versi kali ini sangat berkecamuk. Secara peribadi, King of the Monsters memiliki perkembangan karakter (manusia) yang lebih baik kerana Millie Bobby Brown!

Dalam naskhah kali ini, Millie masih wujud, namun bukan centre of attraction.

Kali ini juga, tumpuan terpaksa dibahagi-bahagikan dengan mereka di Apex Cybernetics, pasukan yang membawa Kong ke Hollow Earth dan termasuk trio yang bersekongkol dengan siasatan Apex (Madison, Josh dan Bernie).

Jia curi tumpuan

Bagaimanapun, tumpuan diberikan kepada seorang anak kecil bisu yang boleh berinteraksi dengan Kong bernama Jia yang dimainkan aktres cilik, Kaylee Hottle.

Secara peribadi, impak yang ditinggalkan Kaylee mengingatkan peranan aktres cilik, Mackenzie Foy yang menjayakan karakter Renesmee Cullen dalam The Twilight Saga: Breaking Dawn – Part 2. Magikal dan mempesona.

 

PELAKON cilik Kaylee Hottle mencuri perhatian dengan watak kanak-kanak bisu, namun boleh berkomunikasi dengan Kong.

Selain itu, tidak banyak yang boleh dikompang tentang perkembangan karakter melibatkan karakter manusia. Karakter Dr. Nathan Lind (Alexander Skarsgård), Madison (Millie) dan Dr. Ilene Andrews (Rebecca Hall) tidak begitu melekat dalam kepala.

Okey, penulis mungkin hanya ingat sedikit tentang apa yang dimaksudkan Jia pengecut, namun disalah tafsir Dr. Nathan sebagai berani melalui bahasa isyarat.

Konklusinya, jika penonton rindukan karya hebat dari segi aksi, skor muzik dan kesan visual, Godzilla vs. Kong barangkali mengubat kerinduan itu.
Godzilla bertarung dengan Kong, pihak mana yang menang? Itu satu perkara yang akan terjawab. Barangkali juga ada dalam kalangan kita yang mata tiba-tiba ‘berkaca’ saat mendepani realiti dalam filem ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI