PETALING JAYA – Setiap orang ada kisah Ramadan tersendiri. Pokok-pangkal, semuanya tergantung kepada rezeki dan acuan hidup seseorang.
Begitu juga dengan bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim yang merangkumkan empat sambutan Ramadan bermula 2018 hingga 2021 dengan empat variasi penuh warna.
Menerusi sekeping foto yang dimuat naik dalam Instagramnya, Azrinaz berkongsi pengalaman bermaknanya apabila berpuasa buat kali pertama di bumi Palestine ketika Ramadan 2018.
“Gambar ini pada tahun 2018 ketika saya di bumi Palestine pada bulan Ramadan. Banyak pengalaman dan pengajaran dikutip khususnya dalam sejarah Islam pada zaman Baginda Rasulullah SAW dan Nabi Isa A.S,” tulisnya.
Pada tahun 2019 pula, bekas pembaca berita itu berkongsi pula pengalaman berpuasa ketika dapat menunaikan haji di Kota Suci Mekah.
“Ramadan 2019, syukur ke hadrat Ilahi saya diberi peluang untuk menunaikan Rukun Islam keempat selama sebulan penuh walaupun ketika itu sedang hamil. Alhamdulillah,” kongsinya.
Azrinaz dalam pada itu turut berkongsi kelainan pengalaman puasa pada tahun 2020 yang dirasai seluruh penduduk di seluruh dunia ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Ramadan 2020 dunia ditimpa musibah yang tidak pernah disangka akal fikiran. Pandemik global merangut puluhan juta manusia. Dalam keadaan norma baharu, Covid-19 tidak mematahkan semangat umat Islam untuk merebut pahala.
“Hikmah disebalik Covid-19 ini memberi kita lebih fokus pada amalan ibadah. Dengan larangan keluar, maka tiada jemputan berbuka, tiada majlis sosial. Secara tak langsung memberi masa yang lebih untuk beribadat dan berterawih,” kata Azrinaz, 42.
Pada sambutan puasa tahun ini, Azrinaz yang baru sahaja menimang cahaya mata pada 26 Mac lalu itu juga berkongsi pengalaman puasa dalam keadaan masih berpantang.
“Tahun 2021 juga punyai cerita tersendiri. Jika 2019 saya dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh, sebaliknya pada tahun ini, saya hanya mampu melihat kenikmatan mereka beriftar (berbuka). Ketika keluarga bangun untuk sahur, saya bangun untuk menyusukan bayi. Allah SWT sebaik-baik perancang,” katanya.
Sekadar info, Azrinaz telah memiliki seorang seorang anak perempuan, Areesya Malaykha, 2, hasil perkongsian hidup dengan suami, Fairos Khan Abdul Hamid yang dinikahi pada 1 Mei 2018.
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 15, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 13. – K! ONLINE