fbpx

K2

Adrenalin dropzone di Bukit Kodiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TURUN menggunakan dropzone hanya mengambil masa kurang lima minit.

PERASAAN teruja jelas terpancar pada raut wajah wanita berusia 37 tahun itu saat tiba di kaki Bukit Kodiang, Kodiang, Kedah.
Nursuziyannie Mat Noor jelas tidak sabar untuk menawan bukit berketinggian 180 meter dari aras laut itu, sekali gus menamatkan penantiannya sejak sekian lama.

Dia yang berasal dari Kangar, Perlis memasang impian mendaki bukit berkenaan sejak tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac tahun lalu bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19 menyebabkan pergerakan orang ramai terbatas.

“Saya sangat teruja dapat mendaki bukit ini buat kali pertama selepas lama menunggu. Sudah lama saya memasang hajat untuk daki bukit yang popular dengan panggilan Bukit Mok Cun ini, namun tidak kesampaian ekoran PKP,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Sebelum berjaya menjejakkan kaki di puncak Bukit Kodiang, Nursuziyannie terpaksa mendaki selama 45 minit dengan jarak sekitar 1 kilometer (km).

 

BUKIT Kodiang atau lebih popular dengan nama Bukit Mok Cun berlatarbelakangkan pemandangan sawah padi yang begitu mengasyikkan mata memandang.

Menurutnya, laluan pendakian ke puncak agak mencabar kerana pengunjung perlu melalui trek sukar termasuk mendaki tangga menegak dengan kedudukan hampir 90 darjah.

“Ramai beritahu pendakian ke puncak sangat sukar meskipun jaraknya tidak jauh. Namun, ia bukan halangan untuk sampai ke puncak,” katanya.

Selepas menjejakkan kaki di puncak, segala penat lelah ketika mendaki terus hilang saat melihat pemandangan indah sawah padi menghijau terbentang luas.

Dia menghabiskan masa sejam di puncak bagi menghirup udara segar sebelum turun menggunakan perkhidmatan dropzone yang ditawarkan Persatuan Sukan Mendaki Kedah (HACCK).

“Kebetulan ketika itu, pihak HACCK menawarkan dropzone untuk pendaki turun. Saya tidak melepaskan peluang mencubanya.

“Saya mencuba dropzone untuk mencabar adrenalin. Ia memudahkan saya turun dari puncak tanpa perlu melalui laluan curam,” katanya.
HACCK dengan kerjasama syarikat aktiviti lasak, Pretty World Resourse menawarkan perkhidmatan dropzone di Bukit Kodiang sejak tiga tahun lalu.

Presiden HACCK, Nazril Azdin Jamaludin, 49, berkata, dropzone merupakan aktiviti yang berbeza sama sekali dengan absaling atau flying fox.

 

AKSI Spiderman yang dilakukan seorang pendaki ketika menggunakan dropzone.

 

Jelasnya, ia adalah proses menurunkan seseorang menggunakan peralatan dikenali belaying gear.

“Siapa pun boleh mencubanya kerana ia tidak memerlukan sebarang kemahiran. Kru kami yang mengawal pergerakan dan kelajuan peserta turun.

“Sejak diperkenalkan, ia mendapat permintaan tinggi. Ia bukan sahaja mudah, namun menjimatkan masa untuk turun dari puncak,” katanya.

Proses dropzone mengambil masa kurang lima minit dengan ketinggian dari puncak ke bawah, 40 meter sahaja.

Nazril memaklumkan, pihaknya juga menawarkan perkhidmatan jurugambar bagi peserta mengabadikan kenangan ketika melakukan aktiviti dropzone.

Pendaki boleh melakukan pelbagai aksi menarik seperti Spiderman, mengangkat tangan atau Ultraman ketika bergambar.

“Harga yang kami tawarkan untuk dropzone adalah RM80 seorang termasuk perkhidmatan jurukamera.

“Rata-rata mereka yang mencubanya teruja melihat hasil gambar ketika melakukan dropzone dengan pemandangan indah sawah padi di belakang,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Nazril memaklumkan, pihaknya sentiasa memastikan segala aspek keselamatan bagi memastikan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Jelas, pihaknya hanya mengambil kru yang mempunyai kelayakan mengendalikan alatan sukan lasak serta berpengalaman sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI