Oleh HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT – Negara berdepan dengan masalah pembuangan bekas plastik dan pembuangan makanan yang membimbangkan apabila merekodkan 10,000 tan metrik plastik dan makanan yang dibuang dalam sehari sejak awal Ramadan kali ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah ini berlaku dalam kalangan penduduk, peniaga pasar malam, bazar Ramadan dan kedai makan yang mengancam sistem saliran seperti parit dan sungai seterusnya menyebabkan berlakunya pencemaran.
“Laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganggarkan kira-kira 10,000 tan metrik makanan yang masih elok dan plastik terbuang di seluruh Semenanjung Malaysia pada awal bulan Ramadan.
“Jumlah ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa kerana semakin ramai pengguna berbelanja sehingga berakhir bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri malahan pada hari biasa juga amalan sama berlaku dalam kalangan penduduk,” katanya pada majlis perasmian Majlis Undi Perdana Kerja di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap penduduk, peniaga dan juga pihak industri memastikan sisa buangan dibuang di tempat disediakan seperti tong sampah yang akan dipungut oleh pekerja Alam Flora.
Jelasnya, pembuangan dan pengurusan sampah secara sempurna dan teratur dapat membantu kerajaan mengurangkan kos kerja pembersihan sistem perparitan di bandar dan aliran sungai di seluruh negara.
“Membuang makanan yang masih elok terutamanya pada bulan Ramadan merupakan tabiat membazir yang dilarang sama sekali oleh agama Islam yang mana sepatutnya ia disimpan atau diberi kepada golongan yang memerlukan.
“Pembuangan plastik boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat yang akan berlaku banjir kilat di sesuatu tempat malah sekiranya sungai dan laut dipenuhi plastik atau sisa buangan ia boleh menyebabkan pencemaran serta mengancam hidupan air,” ujarnya. – K! ONLINE