fbpx

TV3 kongsi rezeki, sajian hebat Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEMA Salam Sayang dipilih sebagai kesinambungan kepada Setulus Ikhlas yang dibawakan pada tahun lalu.

SEMPENA kehadiran Ramadan 2021, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menganjurkan Kempen Salam Sayang sebagai tanda kesyukuran dengan segala nikmat mahupun dugaan yang dihadapi seluruh warga Malaysia ketika berdepan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Tema Salam Sayang dipilih sebagai kesinambungan kepada Setulus Ikhlas yang dibawakan pada tahun lalu.

Salam Sayang membawa banyak makna dalam kehidupan seharian semua orang, sekali gus menyuntik elemen kasih sayang sesama insan, hormat, keikhlasan dan sokongan kepada siapa jua yang berdepan situasi getir akibat penularan Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, MPTN khususnya TV3 dan TV9 mencetuskan inisiatif kempen Salam Sayang bagi membantu para pengusaha kecil memperluaskan perniagaan mereka menerusi Misi Salam Sayang.

 

“Kami bermatlamat mahu menyebarkan rezeki dan meluaskan jalinan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan.

“Misi Salam Sayang dijangka dapat membantu memulihkan semula semangat golongan yang terkesan mencari rezeki,” ujarnya.

TV3 akan menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil mempromosikan produk jualan dan keluaran mereka dalam laman sosial TV3 Malaysia.

TV3 juga akan membeli produk-produk jualan pengusaha terbabit untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan. Aktiviti khidmat masyarakat (CSR) tersebut akan diadakan pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan.

“Pada pengakhiran Ramadan nanti, kami akan menayangkan kompilasi video eksklusif 30 minit menceritakan tentang Misi Salam Sayang kepada penonton setia kami.

“Misi ini bertujuan menceriakan semangat Ramadan buat semua pihak,” ujar Khairul.

Selain itu, TV3 dan TV9 juga meneruskan tradisi sajian program-program menarik merangkumi genre keagamaan, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan untuk tatapan penonton.

ANTARA naskhah menarik yang bakal menghiburkan penonton TV3 dan TV9 sepanjang Ramadan.

Sajian Ramadan

Antaranya seperti rancangan ‘wajib’ Ramadan iaitu Jejak Rasul yang menampilkan pengacara, Ahmad Fedtri Yahya.

Membawakan tema Ulama Pewaris Rasul, Jejak Rasul pada tahun ini membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama hijrah.

Paparan juga membongkar lokasi strategik Tanah Melayu yang menjadi laluan dagang sutera menghubungkan Timur dan Barat, dengan pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu.

Slot drama pastinya menjadi program paling tinggi tontonan tidak kira menerusi televisyen mahupun platform digital.

Terbaharu, TV9 memperkenalkan slot drama Diandra yang akan menyajikan drama komedi sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Drama rantaian Kampung Kolestrol lakonan Ziana Zain, Mas Idayu, Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Rusdi Ramli akan membuka tirai slot Diandra pada 20 April dan diikuti dengan Assalamualaikum Mustafa bermula 5 Mei 2021.

Slot drama Akasia, Lestary, Samarinda dan Drama Pukul 6 menerusi saluran TV3 turut menyajikan pelbagai judul terbaik sepanjang Ramadan, antaranya Tak Sempurna Mencintaimu, Covid Oh Covid, Kisah Cinta Rumi, Penjara Janji, Cukup Derita Itu, Kekasih Hati Mr. Bodyguard, Sabarlah Duhai Hati, Madam E Wallet, Single Terlalu Lama dan Ramadani.

Barisan bintang yang menghiasi naskhah berkenaan antaranya Ning Baizura, Saharul Ridzwan, Amyra Rosli, Syamsul Yusof, Alif Satar dan Ungku Ismail Aziz. Program Sembang Sahur juga kembali bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis pada pukul 11 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI