PARIS – Juara Terbuka Perancis, Iga Swiatek terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Stuttgart minggu depan, namun akan tetap beraksi dalam saingan gelanggang tanah liat pada Terbuka Madrid hujung bulan ini.
Bintang remaja Poland berusia 19 tahun itu mahu mengelak daripada mengalami kecederaan dan keletihan kerana perlu mengharungi beberapa kejohanan penting antaranya Terbuka Madrid dan Terbuka Itali di Rom awal bulan depan.
Dua kejohanan itu merupakan sesi pemanas badan terbaik buat Swiatek selepas meletakkan sasaran utama untuk mempertahankan gelaran Roland Garros pada Terbuka Perancis yang dijangka diadakan 30 Mei ini.
Penganjuran Terbuka Perancis tahun ini dilambatkan seminggu daripada tarikh sebenar oleh pihak penganjur dengan harapan peminat dapat menghadiri pertandingan itu.
“Sayangnya saya tidak akan bermain di Terbuka Stuttgart tahun ini. Saya akui ia bukan mudah untuk membuat keputusan ini tetapi setelah melakukan perbincangan dengan pasukan, saya rasa ia adalah tepat.
“Saya memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persiapan menghadapi tiga kejohanan dalam masa terdekat di Madrid, Rom dan Roland Garros,” katanya.
Sebagai rekod, Swiatek tewas seawal pusingan ketiga Terbuka Miami kepada pemain Croatia, Ana Konjuh yang merupakan kejohanan terakhirnya bulan lalu sebelum menghadapi Terbuka Madrid selepas ini. – AGENSI