Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
BERA – Perniagaan pemprosesan Sate K-Mayan dimiliki Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kemayan di sini semakin popular dalam kalangan pelanggan tempatan dan seluruh negara.
K-Mayan diusahakan Rosliani Bakri, 54, dengan sokongan suaminya, Marsam Ngadino, 56, bermula modal asas RM500 pinjaman AIM pada 1995.
Setelah 26 tahun perniagaan sate yang mengekalkan citarasa tradisi terus berkembang maju malah dianggap sebagai jenama pekan Kemayan di sini.
Perniagaan sate K-Mayan terus berkembang berikutan sokongan berterusan dan strategi perniagaan AIM.
Kini produk K-Mayan bertambah kepada sate sejuk beku atau frozen ayam, daging dan sate kambing dengan harga ‘mampu beli’.
Menurut Rosliani, kapasiti pengeluaran satenya kini mencapai lebih 2,000 cucuk sehari, tidak termasuk produk sejuk beku.
Menurutnya, perkembangan teknologi perniagaan sate K- Mayan turut mendapat permintaan dari luar Bera seperi Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan, Melaka dan lain-lain negeri.
Menyorot sejarah perniagaan Sate K-Mayan, dia memberitahu, ia bermula di rumah sahaja secara kecil-kecilan.
“Sebaik mendapat bimbingan dan dokongan AIM yang menghulurkan dana awal RM500 perniagaan ini semakin dikenali kerana lebih banyak kuantiti sate dapat ditawarkan kepada pelanggan,” katanya kepada Kosmo! di bengkelnya di Kampung Datuk Seri Hamzah Abu Samah di sini.
Menurut Rosliani, jika pada peringkat awal perniagaan banyak ditumpukan di pasar-pasar malam dan pekan sehari di daerah Bera.
Tetapi kini ujarnya, perniagaan di kedai tetap di Pusat Pertumbuhan Desa, Pekan Kemayan.
“Saya sangat terhutang budi kepada AIM kerana setelah perniagaan yang diusahakan dari jejak hampir ‘zero’ kepada perniagaan semakin mendapat permintaan ramai,” katanya.
Rosliani menambah, dia beberapa kali mengikuti kursus bimbingan perniagaan daripada AIM terutama strategi perniagaan dan pengurusan kewangan.
Menurutnya, setakat ini perusahaan K-Mayan telah menerima pinjaman pusingan RM9,000 yang digunakan untuk membesarkan perniagaan sate.
Tambahnya, setelah semakin maju, dia mempatenkan perniagaan dengan jenama K-Mayan dan mengeluarkan sate sejuk beku pada 2010.
“Saya bersyukur melalui perniagaan sate ini, saya mampu menyekolahkan empat anak hingga ke pusat pengajian tinggi, membeli tanah dan membina rumah yang selesa,” katanya.
Penggemar sate boleh mendapatkan Sate K-Mayan dengan menghubungi Rosliani di talian 019-9063355.