GEORGE TOWN – Dua beradik sayu apabila mereka terpaksa menyambut Ramadan dengan hanya berteduh sementara di dalam stor sebuah dewan serbaguna di Sungai Ara di sini sejak hampir tiga bulan lalu.
Kakak sulung, Nurul Adila Aziz, 16, dan adiknya, Ammar Haziq, 14, bersama bapa mereka, Aziz Ahmad, 58, tinggal di dalam bilik kecil dengan hanya beralaskan cadar atau toto sebagai pelapik tidur.
Mereka ditempatkan di situ selepas kisah tiga beranak tersebut yang tinggal di sebuah bangsal berhampiran persimpangan lampu isyarat di situ tular di laman sosial Facebook pada Januari lalu.
Nurul Adila berkata, kehidupan mereka berubah selepas kematian ibunya, Sharifah Hashim akibat penyakit kencing manis dua tahun lalu.
Katanya, dia sedih mengenakan nasib yang menimpa mereka terutama bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah perumahan flat di Bayan Lepas.
“Saya dan adik tidak sanggup tinggal dalam keadaan sebegini apatah lagi pada bulan Ramadan. Ini adalah kali pertama kami menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan.
“Saya dan adik terpaksa kuat demi melihat bapa gembira biarpun kami amat sedih dengan apa yang berlaku termasuk kehilangan ibu tercinta,” ujarnya.
Nurul Adila memberitahu, keadaan bilik yang sempit dan kosong membuatkan mereka tidak selesa termasuk untuk mengulang kaji pelajaran.
“Kami pernah tidak pergi ke sekolah beberapa hari kerana tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi dan pakaian tidak sempat kering,” ujarnya.
Sementara itu, Aziz berharap ada pihak yang dapat menyediakan kediaman yang lebih lebih selesa dan selamat untuk anak-anaknya.
“Saya bekerja syif malam dari pukul 8 malam hingga 8 pagi dengan gaji bulanan RM1,500. Pendapatan ini tidak mampu untuk membayar sewa sebuah rumah kecuali bilik pada harga RM250,” ujarnya.
Aziz yang berasal dari Sungai Ara itu memberitahu, sebelum kematian isterinya, mereka sekeluarga tinggal di Kedah dan kemudiannya berpindah semula ke negeri ini.
Ujarnya, dia dan arwah isterinya pernah mengusahakan sebuah kedai minuman di sini dan memiliki sebuah kediaman sendiri di flat berhampiran.
Bagaimanapun, disebabkan masalah kewangan, rumah kos rendah itu terpaksa dilelong oleh pihak bank disebabkan gagal membayar hutang bulanan.
Terdahulu, Aziz turut dikunjungi Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zin dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang, Jaafar Osman.