PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung ke bazar-bazar Ramadan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung di premis mereka sentiasa mematuhi SOP.
“Peniaga juga harus memastikan pengunjung memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera ketika urus niaga.
“PDRM juga akan terus memantau lokasi-lokasi bazar Ramadan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. – K! ONLINE