fbpx

Pengorbanan ibu tunggal besarkan anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahfuzzah (kiri) sabar membesarkan lima anak, tiga daripadanya OKU ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Chembong Jaya, Rembau.

REMBAU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan seorang ibu tunggal yang berusaha memikul amanah Allah sebaik mungkin dalam membesarkan lima anak berusia lima hingga 18 tahun, tiga daripada mereka merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Menurut Siti Mahfuzzah Abu Mansor, 40, dia kini menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM250 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi anak-anak­nya yang masih bersekolah.

“Jumlah bantuan diterima cukup-cukup untuk membayar sewa rumah, bil utiliti dan per­khidmatan van sewa bagi anak-anak yang masih bersekolah.

“Saya sangat bersyukur apabila penduduk taman, masjid, ke­tua kampung serta adik-beradik sangat bermurah hati membantu memenuhi keperluan makanan harian kami enam beranak,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Chembong Jaya, di sini semalam.

Siti Mahfuzzah berkata, walaupun berdepan kesukaran menguruskan anak-anak terutamanya Nurul Amira Zahra Mohd. Hakim, 16, yang merupakan OKU pelbagai; Muhammad Aiman Haikal, 14, yang merupakan OKU masalah pembelajaran dan anak bongsu, Siti Nur Jnannah, lima yang merupakan OKU lewat perkembangan (GDD), dia tetap keluar bekerja bagi mencari pendapatan.

Atas ihsan ibu saudaranya, wanita ini bekerja sebagai pembantu kedai dengan upah RM20 sehari.

“Saya tidak boleh bekerja jauh dari rumah memandangkan anak bongsu saya kerap di­serang sawan dan perlu berulang alik ke hospital bagi mendapatkan ra­watan susulan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

“Kami menggunakan khidmat percuma yang disediakan Amal Team Rembau untuk ke hospital. Jika tidak, saya memang tidak mampu.

Cerita Siti Mahfuzzah, dia bercerai pada November 2020 susulan bekas suaminya culas dalam memberikan nafkah kepada mereka enam beranak untuk tempoh bertahun-tahun lamanya.

“Sebagai seorang ibu, saya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Biarlah saya berkorban menjaga amanah Allah ini,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0511741100000694 di bawah nama Siti Mahfuzzah Abu Mansor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI