fbpx

Pemilik Ever Given runding pampasan RM3.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Insiden kapal MV Ever Given yang tersekat di Terusan Suez menyebabkan kerugian kepada banyak pihak. -AFP

TOKYO – Pemilik kapal mega yang dirampas selepas menyekat Terusan Suez menyatakan bahawa ia sedang berunding dengan pihak berkuasa Mesir selepas mereka menuntut pampasan AS$900 juta (RM3.7 bilion) untuk membebaskannya.

Kapal MV Ever Given seberat 200,000 tan tersekat secara melintang di terusan sempit tetapi menjadi nadi perdagangan global itu pada 23 Mac lalu sekali gus mencetuskan usaha besar-besaran selama enam hari untuk mengapungkannya.

Syarikat data maritim, Lloyd’s List memberitahu, kapal panjang lebih daripada empat padang bola sepak itu menyebabkan kargo bernilai  AS$9.6 bilion (RM39.6 bilion) antara Asia dan Eropah terkandas pada setiap hari insiden tersebut berlarutan.

Mesir juga kerugian hasil antara AS$12 juta (RM49.5 juta) hingga AS$15 juta (RM61.9 juta) pada setiap hari laluan air tersebut ditutup.

MV Ever Given kemudian dirampas kerana kegagalan membayar  pampasan AS$900 juta, ketua Pihak Berkuasa Terusan Suez, Osama Rabie dipetik sebagai berkata oleh akhbar tempatan, Al-Ahram.

“Nasib  kapal itu kini di gelanggang perundangan,” kata jurucakap pemilik kapal tersebut, Shoei Kisen Kaisha dari Jepun kepada agensi berita AFP hari ini.

Seorang jurucakap yang enggan namanya didedahkan juga dipetik agensi berita Jiji Press sebagai berkata, firma tersebut bertelagah dengan Pihak Berkuasa Terusan Suez berhubung jumlah pampasan yang sewajarnya tetapi rundingan masih berjalan.

Kapal milik Jepun tetapi dikendalikan syarikat pengangkutan Taiwan itu dipindahkan ke kawasan berlabuh di Terusan Suez selepas dibebaskan pada 29 Mac lalu. Kesesakan melibatkan 420 buah kapal di pintu masuk utara dan selatan Terusan Suez berakhir pada awal bulan ini. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI