SELAYANG – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menunggang melulu, tidak mematuhi arahan anggota polis dan menghalang penjawat awam.
Tertuduh Ahmad Yatimi Abdul Majid, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Nik Mohd. Fadli Nik Azlan.
Di hadapan Majistret Nur Hafizah, Ahmad Yatimi didakwa sebagai penunggang motosikal telah menunggang secara melulu dan mendatangkan bahaya di Lebuh Raya Latar pukul 12 tengahari pada 8 April lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen tidak kurang lima tahun.
Ahmad Yatimi juga turut didakwa telah tidak mematuhi isyarat yang diberikan Sarjan Muhammad Iqram Ahmad Syaril yang menghendakinya untuk memberhentikan motosikal yang ditunggangi sebelum sampai di sekatan jalan raya yang mana kesalahan itu dilakukan di Kilometer 26, Plaza Tol Taman Rimba Templer arah ke Kuala Selangor pada waktu dan tarikh sama.
Tarikh 10 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! pada 8 April lalu melaporkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Plaza Tol Templer arah barat, di sini.
Mangsa yang bertugas sebagai Komander Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) bersama pasukan sedang menjalankan operasi trafik di lokasi terbabit sekitar pukul 11.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sekitar pukul 12.20 tengah hari semasa mangsa hendak membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal berkenaan, secara tiba-tiba suspek cuba melarikan diri lalu merempuhnya. – K! ONLINE