LIVERPOOL – Ketinggalan 1-3 pada aksi pertama langsung tidak menggentarkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Anfield awal pagi esok.
Sebaliknya, bekas pengendali Borussia Dortmund itu melaungkan keyakinan mereka mampu bangkit dan mara ke pentas separuh akhir musim ini.
The Reds kembali mendapat suntikan semangat menjelang perlawanan itu apabila menamatkan badi kekalahan di laman sendiri selepas menang 2-1 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
“Kami sedia untuk berikan segala-galanya dan bermain bermati-matian pada perlawanan itu. Kami akan pastikan Liverpool melangkah ke separuh akhir.
“Saya tahu kami perlu tampilkan aksi sempurna pada perlawanan itu dan saya harap semua pemain jangan mensia-siakan peluang ini. Kemenangan ke atas Villa menyuntik semangat kami,” kata Klopp.
Pada masa sama, beliau yakin Real tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukannya meskipun sudah memiliki kelebihan dua gol ke atas Liverpool.
“Saya tahu Real tidak akan ambil mudah aksi timbal balik ini kerana mereka pastinya mahu terus menambah jaringan. Kami perlu cuba apa yang termampu bagi menewaskan mereka,” ujar beliau. – AGENSI