SEKALI dipanjangkan usia, diberikan rezeki dan kesihatan mengizinkan untuk menunaikan ibadah puasa bersama anak-anak, sudah cukup buat Nora menadah tadah mensyukuri nikmat Tuhan.
Meskipun separuh jiwanya telah pergi menghadap Ilahi, hidup sebagai ‘srikandi’ tetap diteruskan tanpa perlu menyalahkan takdir atas apa yang berlaku.
Bagi Datuk Nora Ariffin, Ramadan harus diraikan, namun buatnya tiada yang berlebih-lebihan. Segalanya sederhana sahaja, seiring situasi pendemik Covid-19 yang masih menuntut kesedaran semua.
“Perjalanan ibadah puasa dan persiapan raya saya memang sederhana sahaja. Siapkan apa yang perlu. Sebagai ibu juga ayah buat anak-anak, saya akan pastikan mereka semua gembira,” katanya.
Sebagaimana lazimnya aktiviti Ramadan sebelum ini, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 48, akan meneruskan perniagaan menjual rendang tok seperti tahun lalu.
Berniaga rendang tok
Ujar pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia mendapat idea untuk menjual rendang tok bagi mencari rezeki memandangkan tiada sumber pendapatan daripada nyanyian.
“Perniagaan menjual rendang tok tercetus semasa PKP tahun lepas. Ketika itu saya sama seperti orang lain yang tidak boleh keluar bekerja.
“Alhamdulillah respons dan sambutan yang diterima sangat baik. Jadi saya sambung (jual rendang tok) pada tahun ini,” katanya.
Menurut Nora, dia memasak sendiri rendang tersebut di rumah dan menjualnya secara dalam talian. Nora turut menyediakan khidmat penghantaran kepada pelanggan yang membeli hasil air tangannya.
Selain rendang tok, Nora turut menjual kurma Ajwa dan pembeli boleh mendapatkan kurma tersebut menerusi platform Shopee.
Bercerita tentang aktivitinya sepanjang bulan Ramadan, Nora berkata, inilah masa untuk dia meningkatkan amal ibadah memanjangkan jadual seninya tidak terlalu sibuk.
“Saya rancang untuk belajar dan meningkatkan ilmu tentang agama secara dalam talian bersama ustaz atau ustazah dalam Instagram sebagai pengisian sepanjang Ramadan.
“Selain itu, saya juga akan turut serta terlibat dengan program-program di masjid dengan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah,” ujarnya.
Ibu uzur
Mendalami hatinya, Nora tidak dapat menahan rasa rindu yang menebal di jiwa untuk pulang menjenguk ibunya yang sedang uzur di Kota Bahru, Kelantan,
Kata Nora, dia sudah lama tidak pulang ke Kelantan. Hatinya memang teringin benar kembali ke sana, namun apakan daya, dia perlu patuh pada arahan kerajaan supaya tidak merentas negeri sewenang-wenangnya.
“Emak pun dah uzur. Teringin sangat nak balik ke sana tapi kita perlu patuh kepada undang-undang. Apa-apa pun saya tunggu pengumuman daripada kerajaan sehingga dibenarkan untuk merentas negeri,” katanya.
Sebagai pengubat rindu, Nora akan selalu membuat panggilan video bersama ibunya. Sekurang-kurangnya dapat juga dia melepaskan kerinduan kepada orang tua.
Bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya, Nora baharu sahaja tampil dengan rakaman semula salah satu single popularnya, Naluri yang diberi nafas segar termasuk muzik video yang lebih sesuai dengan imejnya.
Mengambarkan umpama ‘mimpi menjadi kenyataan’, itulah perasaan yang dapat digambarkan Nora tentang penghasilan semula lagu dan video muzik Naluri.
“Umpama mimpi menjadi kenyataan. Sudah lama sebenarnya saya berhasrat untuk mempunyai sebuah muzik video yang cantik dengan pemandangan indah.
“Alhamdulillah ketika usia seni saya menginjak 30 tahun, Allah SWT beri kesempatan impian itu direalisasikan,” katanya.
Sentiasa rindu
Penyanyi bersuara lunak itu memilih Naluri untuk dirakam semula kerana menyifatkan lagu tersebut memiliki aura tersendiri.
“Naluri ada aura dan saya percaya lagu tersebut mampu mengimbau kembali kenangan lama kita semua.
“Lagu tersebut juga sangat popular apabila menjadi lagu tema (OST) untuk drama Cinta Antara Benua yang pernah disiarkan TV3 pada 1997,” ujarnya.
Namun, apa yang pasti, lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi itu juga dapat mengubat rindu dirinya terhadap lelaki yang dicintai sepenuh jiwa itu.
“Rindu saya pada arwah tidak pernah padam. Saya sentiasa rindukannya dalam apa jua keadaan. Naluri sebuah karya yang sangat indah,” katanya.
Selain suami, Nora turut memendam kerinduan tidak berpenghujung buat anak keduanya, Alif Johan yang telah ‘pergi’ secara mengejut pada 2019.
Gimik
Menduga hati si ibu tunggal yang baru menerima sejambak bunga dan sebentuk cincin, selain kelibat seorang lelaki di sebalik tirai, Nora cepat-cepat menepis usikan nakal kononnya sudah menemui pengganti.
“Saya ikut sahaja jalan cerita dalam video muzik arahan Raja Shahiran itu. Babak tersebut tidak membawa apa-apa maksud sebenarnya.
“Tentang hadiah bunga dalam video muzik tersebut, itu adalah hadiah daripada pihak produksi. Terpulanglah pada anda untuk menilainya. Kalau benda baik, saya aminkan sahaja,” ujarnya.
Melihat situasi pandemik yang masih belum menunjukkan titik noktah, Nora juga berharap keresahan ramai akan perlahan-lahan pulih.
“Ramai yang terkesan. Biarpun ada yang sudah kembali bekerja seperti sediakala, jangan lalai dan perlu berhati-hati. Saya doakan semoga anda semua boleh mencari rezeki dan meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.