TURIN – Juventus harus menerima hakikat pelaburan mereka mendapatkan Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai €100 juta (RM492.3 juta) pada 2018 adalah tidak berbaloi.
Tujuan utama The Old Lady membeli Ronaldo untuk membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1996.
Bagaimanapun, Ronaldo, 36, gagal merealisasikan impian itu apabila Juventus sekadar mara ke suku akhir pada edisi 2018/2019 sebelum dua kali terkandas di peringkat 16 terbaik termasuk musim ini.
Kapten Portugal itu juga menunjukkan sikap tidak profesional termasuk membuang jersi Juventus hanya kerana gagal meledak gol meskipun menang 3-1 ke atas Genoa dalam aksi Serie A pada Ahad lalu.
Bukan itu sahaja, Ronaldo turut dilaporkan menumbuk dinding bilik persalinan sebelum meninggalkan stadium tanpa bercakap dengan sesiapa.
“Cristiano (Ronaldo) marah kerana gagal menjaringkan gol. Ia perkara biasa bagi seseorang pemain seperti Ronaldo.
“Ronaldo tidak akan didenda disebabkan insiden itu, lagi pun perlawanan sudah tamat. Situasi ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja,” kata ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo.
Difahamkan, tindakan Ronaldo itu seakan-akan menggambarkan dia sedang melakukan protes untuk berhijrah menyertai Real semula musim depan.
Walaupun nilai perpindahan Ronaldo sekarang dikatakan cuma €29 juta (RM142.7 juta), namun Juventus akan lebih berjimat kerana tidak perlu membelanjakan €576,923 (RM2.84 juta) seminggu untuk bayaran gaji penyerang itu. – AGENSI