SEOUL – Kumpulan sensasi Korea Selatan, Blackpink mencipta sejarah tersendiri apabila memiliki lebih 60 juta pengikut di seluruh dunia yang melanggan saluran YouTube mereka, lapor agensi berita Yonhap semalam.
Angka itu adalah jumlah terbesar bagi mana-mana artis Korea Selatan dan kedua terbesar dalam kalangan penghibur antarabangsa, demikian menurut syarikat pengurusan Blackpink, G Entertainment.
Jumlah pelanggan saluran YouTube Blackpink yang dianggotai empat penyanyi wanita itu mencecah 60 juta sekitar pukul 6 pagi semalam (waktu tempatan), manakala tontonan kumulatif mencapai lebih 17 bilion.
Klip video kumpulan tersebut yang mencatat tontonan paling banyak termasuk lagu Ddu-du Ddu-du pada 2018 berjumlah 1.5 bilion tontonan, manakala karya pecah panggung, Kill This Love ditonton lebih 1.2 bilion kali setakat ini.
Blackpink muncul sebagai kumpulan wanita dengan jumlah pelanggan YouTube paling ramai pada Julai 2020 sekali gus mengatasi penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande. Kumpulan itu membuat debut pada 2016.
Bilangan peminat yang mengikuti saluran YouTube kumpulan itu dijangka terus meningkat dan akan mengatasi pemuzik tersohor seperti Eminem, Ed Sheeran dan Marshmello dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Penyanyi dan penulis lagu dari Kanada, Justin Bieber merupakan pemuzik dengan pelanggan saluran YouTube paling ramai iaitu 62.4 juta orang setakat semalam. – Agensi