PENYU khususnya spesies belimbing amat sinonim dengan Terengganu sebagai ikon pelancongan negeri Pantai Timur.
Ironinya bukan sahaja penyu belimbing sudah lebih empat tahun tidak mendarat di pantai Terengganu, malah negeri itu satu-satunya di Malaysia yang masih membenarkan penjualan telur penyu secara terbuka.
Antara premis popular penjualan telur itu ialah Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
Perjuangan persatuan-persatuan pencinta alam dan haiwan sejak sekian lama tentang pengharaman penjualan telur penyu akhirnya mendapat respons positif daripada kerajaan negeri.
Pengharaman secara total telur penyu di negeri itu akan dibentangkan menerusi pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadual pada November depan.
Namun, hasrat kerajaan negeri itu mendapat maklum balas berbelah bahagi dalam kalangan rakyat negeri yang sudah menjadikan amalan memakan telur penyu secara tradisi.
Sebaiknya, penggemar telur penyu disaran menjadikan bulan Ramadan ini sebagai permulaan untuk berhenti memakannya yang terbukti tidak mempunyai sebarang khasiat perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya akur ancaman kepupusan reptilia tersebut sudah sampai tahap kritikal pada masa ini.
“Sebelum ini, larangan penjualan telur penyu di Terengganu hanya melibatkan telur penyu belimbing, tapi spesies lain (agar, lipas dan karah) dibenarkan.
“Kita sedar penjualan telur penyu perlu diharamkan sepenuhnya demi memastikan kelestarian haiwan reptilia berkenaan,” katanya kepada Kosmo!.
Azman berkata, bukan sahaja penyu belimbing, spesies lipas juga sudah tidak mendarat di pantai-pantai Terengganu sejak sekian lama.
Katanya, dianggarkan lebih 50 ekor penyu mati, kebanyakannya disebabkan pencemaran dan kecuaian manusia di perairan Terengganu sepanjang tahun lalu.
“Pindaan enakmen juga akan memperketatkan penguatkuasaan isu pencerobohan dan gangguan sarang penyu di negeri ini.
“Sudah masanya Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) yang sudah berusia 34 tahun dipinda kerana sudah tidak relevan,” katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Rusman Rusdi berkata, hanya dua spesies penyu iaitu agar dan karah yang masih setia mendarat di pantai negeri tersebut untuk bertelur.
Beliau berkata, sebanyak 662,097 telur penyu agar telah ditemui di 8,433 sarang di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Sebanyak 443,721 telur penyu agar itu berjaya menetas sebagai anak. Bagi tempoh sama, hanya tujuh sarang penyu karah ditemui di pesisir pantai Terengganu.
“Sebanyak 290 daripada 599 telur penyu karah yang berjaya dikutip tersebut berjaya menetas menjadi anak,” ujarnya.
Rusman berkata, lapan kawasan pendaratan penyu di Terengganu ialah Rantau Abang, Dungun; Geliga, Ma’ Daerah, Kemaman; Cakar Hutan, Rhu Kudung, Pulau Redang, Kuala Nerus; Telaga Papan, Setiu dan Pulau Perhentian, Besut.
Jelas beliau, kawasan-kawasan pendaratan itu dijaga 43 pekerja yang melakukan rondaan pantai, pengumpulan dan penanaman telur penyu dan mengawal pencerobohan.