fbpx

Aplikasi Tulus mudahkan transaksi amal jariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Tulus Digital Sdn. Bhd. (Tulus Digital) menjangkakan aplikasi Tulus akan dapat memberi peluang kepada masyarakat Islam membuat pembayaran bagi pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, kaedah pembayaran secara digital yang hanya dilaksanakan melalui hujung jari itu memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat pembayaran tanpa mengira masa dan lokasi mereka.

Menurut beliau, platform tersebut juga telah  menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

“Istimewanya di bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi sembilan negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan WP Labuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Selain itu, Mohd. Daud menjelaskan, Tulus Digital juga telah menjalin kerjasama strategik dengan Touch & n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat di bulan Ramadan ini. 

“Kami menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai di atas termasuk negeri Perak.

“Aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store. 

“Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara online di laman sesawang syarikat,” jelasnya. 

Mohd. Daud menerangkan, syarikat juga optimis untuk membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan tahun ini.

“Bagi perancangan masa hadapan, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya,” katanya.

Aplikasi Tulus dibangunkan oleh Tulus Digital (dahulu dikenali sebagai SnapNPay Digital Sdn Bhd).

Ia merupakan syarikat Islamik fintech berteraskan pembangunan kewangan sosial yang menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui dua aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI