PUTRAJAYA – Sejak dimulakan Januari lalu, seramai 24,919 orang sudah berjaya ditawarkan pekerjaan menerusi Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) setakat 31 Mac lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, seramai 23,477 orang pekerja ditempatkan di sektor awam manakala, 1,442 orang pekerja pula berjaya ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, secara keseluruhan, kerajaan telah mencapai 49.8 peratus sasaran keseluruhan MySTEP bagi tahun 2021.
“Sejak program MySTEP mula dilaksanakan sejak Januari lalu, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan.
“Di bawah program itu, pemohon telah ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pemohon untuk GLC pula telah ditempatkan dalam organisasi seperti PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional,” katanya menerusi Laporan Laksana Ke-49 yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, MyStep diumumkan pada Belanjawan 2021 lalu yang mana kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi membuka 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta GLC secara lantikan kontrak.
Tengku Zafrul berkata, sebanyak 35,000 peluang pekerjaan disediakan di sektor awam, manakala 15,000 peluang pekerjaan turut disediakan di GLC serta rakan-rakan strategik mereka.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM647.33 bagi tuntutan Elaun Khas Barisan Hadapan setakat 2 April lalu.
Menurutnya, ia membabitkan 1,822,927 tuntutan berbanding RM569.69 juta berdasarkan 1,671,400 tuntutan pada minggu sebelumnya. – K! ONLINE