fbpx

Sudah-sudahlah curi harta orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis, bomba dan petugas kesihatan menggali lokasi mayat seorang wanita yang ditanam oleh suaminya di Kota Tinggi, Johor Mac lalu.

Tiga bulan pertama tahun ini penuh dengan kejutan. Daripada kisah pembunuhan, rasuah hinggalah kepada artis melanggar prosedur operasi standard selepas berkahwin.

Ada kes suami bunuh isteri dan begitu juga sebaliknya. Kalau tak kena kelar, mayat kena masuk dalam tong sebelum ditanam di dalam ladang kelapa sawit.

Suami bunuh isteri berlaku di Kota Tinggi, Johor pada Mac lalu. Si suami mudah mengambil nyawa si isteri kerana berang wanita itu tidak memasak ketika dia pulang dalam keadaan lapar.

Ada kes, seorang wanita yang khayal syabu bertindak membunuh suaminya yang sedang bersiap untuk solat Subuh kerana kerap bergaduh di Kampung Desa Makmur, Majidee. Di Johor lagi.

Di Kuala Lumpur pula, dunia kejahatan bertukar rentak apabila melibatkan jenayah kolar putih. Tiga kes besar yang menjadi perhatian ialah kartel tender projek kerajaan, geng godam sistem imigresen dan Geng Nicky.

Walaupun berlainan, tujuan mereka adalah sama iaitu makan duit melalui rasuah dan menipu orang. Jika dihitung, jumlah kekayaan mereka mencecah RM5 bilion.

Jika wang sebanyak itu diberikan kepada Ustaz Ebit Lew, dia boleh membahagikan setiap seorang daripada 32 juta rakyat Malaysia sebanyak RM156.

Ada artis, pergi berbulan madu selepas bernikah. Walau apapun alasan yang diberi ketika mengisi borang merentas negeri, ia tetap menjadi kesalahan kerana melanggar perintah kerajaan Perikatan Nasional yang ketika ini tidak bersidang di Parlimen.

Kesemua contoh di atas menunjukkan betapa manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk kesenangan dan kepuasan hidup.

Kejahatan dengan manusia memang tidak dapat dipisahkan. Cuma yang membezakan sama ada ia melibatkan dosa besar atau kecil. Dosa yang boleh diampunkan dan dosa yang tidak boleh diampunkan seperti syirik.

Selama mana ada bisikan jahat untuk melihat anak Adam terjerumus ke lembah kegelapan, selagi itu manusia akan mengikut hawa nafsu yang tidak pernah puas dengan yang ada.

Nafsu hanya boleh ditundukkan dengan lapar. Jika perut kosong hendak buat jahat pun malas sebab tiada tenaga.

Sebab itu Nabi mengajar kita supaya berpuasa jika tiada makanan atau minuman yang hendak dijamah supaya jasad kita tidak bernafsu mencuri harta orang.

Sesuai dengan hari ini, saat permulaan umat Islam berpuasa. Sepatutnya kita mengambil iktibar dan muhasabah diri kerana hanya kita mengetahui dosa yang pernah dilakukan.

Pahala sudahlah tidak sebanyak mana, mampukah kita angkuh lagi berjalan di bumi Tuhan dengan berterusan melakukan maksiat terhadap-Nya.

Seperti lagu Man Bai, kita semua pasti mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI