PETALING JAYA – Suami kepada pelakon Serina Redzuawan, Meor Mohamad Aidid sedia maklum dengan siasatan yang dilakukan terhadapnya berhubung isu gagal membuat permohonan untuk perkahwinan keduanya, baru-baru ini.
“Saya sedia memberi kerjasama terhadap pihak berkuasa. Saya dapat tahu bekas isteri (Nur Hamizah Shaffee) ada membuat laporan polis kononnya dia dimadukan tanpa kebenarannya. Saya sedia bertanggungjawab,” kata Aidid dalam satu kenyataannya hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Aidid susulan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang dilaporkan telah menyerahkan siasatan kes membabitkan dirinya dalam isu permohonan berkahwin kali kedua dengan Serina kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis.
Kes tersebut diserahkan kepada JIPS Perlis memandangkan Aidid sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.
Kontroversi perkahwinan kedua Serina dengan Aidid berpanjangan selepas Hamizah tampil mendakwa perkahwinan tersebut berlangsung tanpa pengetahuannya selaku isteri pertama selain menyangkal dakwaan bahawa Aidid berstatus duda sewaktu bernikah dengan Serina.
Aidid bagaimanapun menjelaskan, hatinya sudah lama tertutup untuk Hamizah kerana mendakwa hubungan mereka sudah bertahun hambar dan bermasalah.
“Hati saya sudah lama tertutup untuknya. Saya bernikah dengan Serina bulan Februari lalu tetapi dia bukan punca hubungan saya dengan bekas isteri berantakan.
“Benar ketika berkahwin kali kedua, Hamizah masih isteri saya. Itu fakta yang saya tak boleh nafikan. Lagipun pada masa sama proses tuntutan cerai olehnya di mahkamah memakan masa. Kami bercerai secara sah pada 9 Mac lalu.
“Kini hanya Serina seorang isteri saya. Tak timbul lagi kisah atau perihal bermadu itu,” katanya.
Aidid berkata, dia kini hanya mahu hidup bahagia bersama Serina dan dua anak tirinya.
“Saya ikhlas menyayangi Serina dan anaknya. Dia bukan perosak rumah tangga. Malah dia yang memberi semangat supaya saya tidak menyimpan dendam kisah lalu.
“Dia juga wanita matang, bijak urus kehidupan, berdikari, berani, dedikasi dalam perniagaaan dan tugas yang diamanahkan.
“Saya juga menghormati segala komen bapa mentua (Cef Wan). Insya-Allah saya dan isteri akan memperbaiki kekurangan diri. Saya berjanji akan menjaga Serina, anak dan rumah tangga kami dengan baik,” katanya.
Minggu lalu, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG). Bagaimanapun, pelakon itu tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air. – K! ONLINE