fbpx

Lima jam hadap kesesakan lalu lintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku ekoran banjir kilat yang melanda ibu negara lewat semalam.

PETALING JAYA – Orang ramai terpaksa mengharung kesesakan jalan raya hampir lima jam ekoran banjir kilat melanda ibu negara, lewat petang tadi.

Pekerja swasta, Nazrul Hafizi Zakaria, 34, berkata, dia keluar dari pejabat di Jalan Raja Chulan sekitar pukul 4.30 petang dan waktu itu hujan lebat mula turun.

“Kurang setengah jam, air mula naik memenuhi jalan raya menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Pada waktu itu saya cukup risau jika air terus naik dan menenggelamkan kereta. Nasib baik waktu itu air baru paras betis dan masih boleh dilalui,” ujarnya kepada Kosmo! sebentar tadi.

Menurutnya, dia bersyukur kerana berjaya keluar dari laluan berkenaan walaupun mengambil masa begitu lama dan sekali lagi berdepan kesesakan yang teruk di Lebuh Raya Persekutuan.

“Bayangkan sekitar pukul 9 malam, baru saya tiba di rumah di Shah Alam dan dapat berbuka puasa.

“Kejadian hari ini lebih teruk berbanding semalam. Mana-mana jalan sesak kerana banyak kawasan yang dinaiki air,” ujarnya.

Terdahulu, kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar ibu negara selepas beberapa lokasi dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala Bulatan Batu Caves, Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.

Selain itu, kawasan Cheras dan Ampang juga turut terjejas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI