PETALING JAYA – Seramai 10 lelaki bertindak menyerbu sebuah restoran lalu menarik keluar dua pekerja lelaki secara paksa di Restoran Sri Pandi, Brickfileds Kuala Lumpur hari ini.
Tindakan sekumpulan lelaki yang disyaki datang dari Klang itu turut disaksikan pengurus restoran dan orang ramai sekitar pukul 2 petang.
Terdahulu, video berdurasi 19 saat itu tular di media sosial memaparkan dua pekerja restoran berkenaan diheret keluar secara paksa oleh sekumpulan lelaki, sambil disaksikan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pengurus restoran memaklumkan kira-kira 10 lelaki telah memasuki restoran terbabit.
“Tidak lama kemudian mereka menarik keluar dua lelaki warga India yang dikenali sebagai Balamurugan dan Vadi Relu secara paksa.
“Kedua-duanya merupakan pekerja restoran itu dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh pekerja-pekerja yang lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sekumpulan lelaki itu bertindak demikian bagi mengambil balik kedua-duanya yang merupakan pekerja mereka yang telah melarikan diri dari sebuah restoran di Pandamaran, Klang.
“Semakan mendapati salah seorang mangsa juga pernah membuat laporan polis pada 10 April lalu di daerah sama susulan kegagalan majikan membayar gaji.
“Akibat terlalu kecewa dengan majikan, kedua-dua mangsa bertindak melarikan diri dan menumpang di Restoran Sri Pandi,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah. – K! ONLINE