PUTRAJAYA – Bekalan vaksin Covid-19 negara dijangka melebihi jumlah pendaftaran pada bulan Jun depan, kata
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, menerusi bekalan terbabit, proses pemberian vaksin melalui PICK dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.
“Kami mengunjurkan bekalan akan mula melebihi pendaftaran pada Jun dan bulan-bulan seterusnya. (Pemberian vaksin) pasti selesai sebelum akhir tahun.
“Ini bermakna, kadar vaksinasi akan meningkat dengan cepat,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memuat naik graf jadual penghantaran vaksin, jumlah pendaftaran semasa dan sasaran vaksinasi setakat semalam.
Berdasarkan graf itu, bekalan vaksin yang akan diterima pada Mei depan meliputi 3 juta populasi penduduk sebelum mencapai 9 juta menjelang Jun dan bertambah setiap bulan hingga Disember.
Bagi jumlah pendaftaran program imunisasi itu pula kini berjumlah 8,602,156 setakat semalam. -K! ONLINE