Oleh SUBKHI SUDARJI
SERAMAI 264 atlet dan pegawai yang terlibat pada Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo, Jepun dijadualkan menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataannya memberitahu, kesemua atlet akan menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras, Kuala Lumpur.
Jelasnya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dijadualkan menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama dengan barisan atlet terlibat.
“Persiapan rapi sedang dibuat barisan atlet negara menjelang Sukan Olimpik pada 23 Julai hingga 3 Ogos depan, manakala Sukan Paralimpik akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September depan di Tokyo, Jepun.
“Aspek persiapan merangkumi pemberian vaksin kepada para atlet dan pegawai terlibat, selain program khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung itu dengan diterajui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu menambah, meskipun Sukan Olimpik dan Paralimpik ditangguhkan pada tahun lepas akibat penularan Covid-19, KBS telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan perancangan.
“Pendekatan ini termasuk pelaksanaan latihan atlet melalui Gelembung Sukan bagi memastikan semua atlet sentiasa dalam keadaan terbaik dan mampu beraksi cemerlang di arena antarabangsa,” katanya.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Reezal Merican akan melancarkan countdown Detik 100 Hari ke Tokyo pada 14 April di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Menurutnya, Detik 100 Hari ke Tokyo itu akan digerakkan ke seluruh negara termasuk program jelajah Road to Tokyo 2020 yang bertujuan mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.