KUANTAN – Pahang membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat sunat tarawih 20 rakaat dan tiga witir di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan pada tahun ini.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, kebenaran itu dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Fatwa Hukum Syarak Negeri.
“Perkara ini sudah mendapat perkenan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.
“Jadi imam di masjid dan surau boleh berbuat demikian kerana kebenaran sudah diberikan, tetapi masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Pahang,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kerajaan Pahang sebelum ini mengeluarkan garis panduan bagi solat sunat terawih dan aktiviti masjid sepanjang Ramadan ini.
Tempoh ibadah yang bermula dengan solat Isyak berjemaah hingga solat sunat witir dan doa itu bagaimanapun ditetapkan sehingga pukul 10 malam sahaja.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, jika solat sunat terawih tidak disempurnakan 20 rakaat dalam tempoh ditetapkan, bakinya boleh ditunaikan di kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, beliau meminta agar imam masjid dan surau dapat mengekalkan solat sunat terawih seperti yang sudah ditetapkan.
“Kita hanya galakkan begitu, tetapi kalau ada (jemaah) yang hendak balik ke rumah selepas selesai lapan rakaat (solat terawih), tidak ada masalah. Jemaah boleh melakukan ibadah itu di rumah mereka masing-masing,” ujarnya. -K! ONLINE