KETUA jurulatih pasukan Selangor FC, Karsten Neitzel mengakui puas menyaksikan kecemerlangan skuadnya apabila menundukkan seteru tradisi, Perak FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya kelmarin.
Pada aksi itu, Gergasi Merah tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata penuh hasil jaringan hatrik penyerang sensasi dari Bahrain, Ifedayo Olusegun.
Kata Neitzel, pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras untuk pastikan pasukan kembali di landasan kemenangan selepas tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA FC) pada aksi liga minggu lalu.
“Aksi yang dipamerkan oleh pasukan ketika bertemu Perak kali ini jauh lebih baik sewaktu tewas kepada KDA FC. Semua pemain mendengar arahan taktikal dan teknikal yang ditetapkan.
“Pemain bek kami di posisi kiri dan kanan juga berfungsi dengan cukup baik terutama ketika memberi sokongan buat jentera serangan. Secara jujur, saya lihat kami sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi apa yang penting adalah tiga mata penuh,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Sementara itu, penolong ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mohd. Shahril Nizam Khalil mengakui anak-anak buahnya sudah memberikan aksi yang terbaik tetapi tiada rezeki buat mereka mencuri mata kali ini.
“Pada babak pertama kami agak bergelut dengan tempo permainan pasukan tuan rumah tetapi selepas memasuki separuh masa kedua, segalanya berubah dan kami boleh memberi saingan tetapi beberapa peluang keemasan gagal dimanfaatkan,” katanya.