fbpx

RM1.34 juta buah tangan menteri untuk pembangunan Kem PULADA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI memeriksa kawalan hormat ketika membuat lawatan kerja di PULADA, Ulu Tiram kelmarin.

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.34 juta untuk Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) sempena lawatan kerja menterinya di kem berkenaan kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu bertujuan menaik taraf pembangunan dan kemudahan asas di kem berkenaan.

Peruntukan tersebut diluluskan berdasarkan keperluan dalam memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di tahap tertinggi, selain mengutamakan kebajikan anggota.

“Bagi setiap kem, kerajaan meluluskan peruntukan berdasarkan keperluan, jika perlu disegerakan, kerajaan akan beri. Seperti di PULADA, ada beberapa permohonan (telah dikemukakan) semasa taklimat.

“Ia meliputi cadangan untuk menaik taraf penginapan peserta kem dengan peruntukan berjumlah RM340,000 dan kerja membaiki atap masjid yang sudah bocor adalah sebanyak RM1 juta.

“Walaupun orang takut mahu masuk tanpa kebenaran, tetapi pagar kem ini perlu dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di PULADA, Ulu Tiram di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Ismail Sabri menjelaskan, bagi 32 buah keluarga yang kini masih belum mendapat kediaman yang selesa, permohonan yang dicadangkan bernilai RM6.4 juta itu akan dimasukkan ke dalam peruntukan tahun hadapan.

“Tadi jumlah kita luluskan adalah sebanyak RM1.34 juta dan ia tidak termasuk penghawa dingin di dewan ini, saya baru perasan walaupun mereka tidak minta, tetapi ia adalah keperluan mendesak kerana mereka banyak laksanakan program di sini.

“Kita akan beri dan buat pengiraan untuk penghawa dingin di sini, saya percaya jumlah (peruntukan diberi) di sini adalah antara RM1.7 hingga RM1.8 juta,” jelas beliau.

AKSI menarik anjing pengesan menjejaki penjenayah adalah antara demonstrasi yang diadakan semasa lawatan Ismail ke PULADA.

Sementara itu, ketangkasan tiga ekor anjing perang ketika membuat persembahan sempena lawatan kerja Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram di sini antara yang mendapat perhatian.

Persembahan selama kira-kira 10 minit itu dilakukan anjing 9 M 05 Storm daripada baka Rittweiler, 9 M 11 Bobby baka Belgian Shephard juga 9 M 02 Taker baka British Pointer.

Demonstrasi itu melibatkan cara anjing pengawal itu mengesan barang terlarang dan juga bahan letupan.

Terdahulu kehadiran Ismail Sabri disambut dengan kawalan hormat sebelum diberikan taklimat berhubung kem itu.

Beliau kemudiannya melakukan lawatan kebajikan ke rumah anggota untuk menyerahkan sumbangan hamper dan juga wang tunai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI